Mayat lelaki 29 tahun dipercayai mangsa culik, ditemui di kebun kelapa sawit

Mayat lelaki 29 tahun dipercayai mangsa culik, ditemui di kebun kelapa sawit

Mayat lelaki yang dipercayai mangsa culik pada September lalu, ditemui ditanam di sebuah kebun kelapa sawit di Bidor, Perak semalam.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, penemuan mayat lelaki berusia 29 tahun itu susulan tangkapan ke atas seorang daripada suspek di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor, kelmarin.

Katanya, dengan dipandu arah oleh suspek berusia 30 tahun itu, mayat mangsa ditemui ditanam di kawasan berkenaan dalam keadaan dibungkus plastik kanvas.

“Pihak polis menerima laporan berkaitan kes seorang lelaki dilarikan dua individu pada 3 Oktober tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan ke atas pengadu, dia memberitahu kejadian itu berlaku pada 13 September lalu ketika dia dan mangsa berada di kolam ikan di Kampung Poh, Bidor di mana mereka diserang dua lelaki bersenjatakan kayu,” katanya dalam satu kenyataan, menurut laporan Kosmo!.

Menurutnya, mangsa juga dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan oleh suspek sebelum beredar.

“Suspek juga mengugut pengadu supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya.

Sumber | FMT