Mas Ermieyati diingatkan utamakan akta antilompat parti, kata Azlina

Mas Ermieyati diingatkan utamakan akta antilompat parti, kata Azlina

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, lewat petang ini membuat ciapan yang agak nakal ketika orang ramai masih memperkatakan kabinet yang baru dipilih Ismail Sabri Yaakob.

Mengucapkan tahniah kepada Mas Ermieyati Samsudin, Azalina mengingatkan ahli parlimen Bersatu itu keutamaan kerajaan menggubal akta baru.

“Tahniah YB @emysamsudin. Jangan lupa letakkan undang-undang antilompat sebagai keutamaan agenda pembaharuan parlimen sebagai timbalan menteri undang-undang dan parlimen,” kata Azalina.

Ciapan bekas timbalan yang dipertua Dewan Rakyat itu pantas menarik perhatian ramai kerana Mas Ermieyati merupakan ahli parlimen Masjid Tanah di Melaka.

Dia memenangi kerusi berkenaan pada PRU 2018 atas tiket Umno-BN, namun meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Pernah menjadi ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati diberikan jawatan timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi apabila kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan ekoran jatuhnya PH pada hujung Feb tahun lalu.

Di bawah Ismail Sabri, Mas Ermieyati dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan parlimen.

Untuk rekod Azalina merupakan ketua pertama Puteri Umno dan pernah berkhidmat sebagai menteri di JPM. Dia meletakkan jawatan sebagai timbalan yang dipertua Dewan Rakyat baru-baru ini.

Di sebalik harapan banyak pihak agar Azalina diberikan tempat dalam kabinet, pengumuman Ismail Sabri pagi tadi menunjukkan dia diketepikan.

Azalina merupakan salah seorang ahli parlimen yang menarik balik sokongan Umno kepada Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN sehingga membawa kepada pengunduran ahli parlimen Pagoh itu pada pertengahan bulan ini.

Di penghujung perkhidmatan Muhyiddin sebagai perdana menteri, dia menawarkan beberapa pembaharuan – termasuk menggubal akta baru bagi mengekang ahli parlimen berpaling tadah – dalam usaha mendapatkan sokongan daripada pembangkang.

Bagaimanapun tawaran tersebut tidak diterima PH dan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Ogos lalu.

Sumber | MK