Mana mau lari

Cubaan lelaki menyamun lelaki warga India yang membawa wang tunai milik syarikat berjumlah RM15,000 di Jalan Metro Perdana, di sini, gagal selepas ditahan mangsa bersama pengawal keselamatan peribadi, 15 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku 11.15 pagi apabila mangsa, 36, ditahan suspek, 34, bersenjatakan parang 40 sentimeter ketika berjalan.
Menurutnya, suspek mengacukan parang ke arah leher mangsa dan memaksanya menyerahkan wang tunai sebanyak RM15,000 milik syarikat pembekal komputer.
“Suspek cuba untuk melarikan diri ke arah rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal.
“Namun, percubaan suspek untuk melarikan diri bersama wang tunai tidak berjaya kerana ditahan oleh mangsa dengan bantuan pengawal keselamatan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Eng Lai berkata, bagaimanapun, rakan suspek berjaya melarikan diri.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat insiden dan suspek diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan direman seminggu sehingga esok,” katanya.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis sedang berusaha mengesan tiga rakan suspek yang masih bebas,” katanya.
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655565/mana-mau-lari