Malaysia jadi ‘bahan lawak’, Tuan Ibrahim perlu perjelas mengapa negara disisih dari sidang iklim

Malaysia jadi ‘bahan lawak’, Tuan Ibrahim perlu perjelas mengapa negara disisih dari sidang iklim

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man perlu menjelaskan mengapa Malaysia disisihkan daripada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Amerika Syarikat (AS), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sidang kemuncak pada 22 hingga 23 April, yang dihoskan oleh Presiden Joe Biden itu akan menampilkan pemimpin dari 40 negara termasuk Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Lim berkata, penyisihan Malaysia menjadi “bahan jenaka”, yang menunjukkan kemerosotan kedudukannya sebelum ini sebagai peneraju dalam mempromosi isu perubahan iklim.

“Sehingga kini, Tuan Ibrahim Tuan Man masih gagal menjelaskan mengapa Vietnam boleh dijemput, tetapi Malaysia disisihkan daripada sidang kemuncak ini,” kata Lim dalam kenyataan.

“Tuan Ibrahim harus sedar diri dengan menetapkan wawasannya dalam bagaimana untuk mengintegrasikan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam bidang tugas agensi-agensi kerajaan.

“Malangnya, sebagai salah seorang pemimpin parti yang berwarna hijau, Tuan Ibrahim telah merugikan negara dengan prestasi buruk dalam memupuk dasar hijau sehingga Malaysia dilihat sebagai jauh lebih rendah daripada negara Vietnam.”

Lim berkata, walaupun berkali-kali Tuan Ibrahim menafikannya, kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya telah mengizinkan Malaysia perlahan-lahan menjadi tempat pembuangan sampah AS untuk plastik “bersih”.

“Sekiranya Tuan Ibrahim begitu yakin tentang bagaimana sampah plastik boleh dikatakan ‘bersih’, maka dia harus membenarkan kilang sampah plastik ‘bersih’ dibina di sebelah rumahnya di Kelantan atau Pahang,” katanya.

Bulan lalu, Rumah Putih dalam kenyataan berkata, jemputan terdiri daripada “ketua-ketua negara yang menunjukkan kepemimpinan berkenaan iklim, ketua-ketua dari negara yang rentan terhadap impak iklim, dan yang sedang memeta laluan inovatif ke arah ekonomi net sifar”.

Antara mereka yang pernah menyuarakan tentang penyisihan itu adalah bekas perdana menteri Najib Razak, yang mempersoalkan sama ada pengecualian Malaysia berikutan negara sedang dilihat ketinggalan dalam usaha menentang perubahan iklim dan pencemaran. | FMT