Majlis Serah Tugas Jawatan KPN baharu suram tanpa kehadiran Menteri KDN

Majlis Serah Tugas Jawatan KPN baharu suram tanpa kehadiran Menteri KDN

Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Negara (KPN) di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini berlangsung tanpa kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Berdasarkan tradisi pemakaian kenaikan pangkat Ketua Polis Negara, ia dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas pasukan keselamatan itu.

Sebaliknya, majlis tersebut dihadiri Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang mewakili Hamzah memakaikan kenaikan pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang sah menjadi Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa pada Isnin menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurut Ismail, Hamzah tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana terpaksa menyertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Abdul Hamid dalam sidang media terakhirnya pada Jumaat lalu menyarankan agar Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak dipengerusikan oleh seorang menteri bagi mengelakkan campur tangan politik dan sepatutnya diserahkan kepada seorang hakim atau bekas hakim.

Jelasnya, perkara tersebut telah dibangkitkan kepada Hamzah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Abdul Hamid, pengerusi SPP juga sepatutnya mengadakan mesyuarat lebih kerap agar kes-kes berkaitan tatatertib dapat diselesaikan. | AA

COMMENTS