Majikan diseru beri kerjasama saring pekerja asing

Majikan diseru beri kerjasama saring pekerja asing

Semua majikan diseru agar memberi kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja asing di premis mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sehingga kini hampir 17,000 pekerja telah disaring dan daripada jumlah tersebut seramai 555 didapati positif dan hampir 16,400 yang lain negatif Covid-19.

“Sepanjang tempoh saringan yang bermula 1 Disember itu, sebanyak 663 kilang atau industri telah terlibat dan 652 buah klinik bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, masih terdapat majikan yang enggan memberi kerjasama. Oleh itu, kerajaan menyeru agar majikan-majikan ini beri kerjasama kerana jika ada dalam kalangan pekerja mereka positif Covid-19, kilang mereka akan diarahkan tutup dan mereka akan kerugian besar,” katanya ketika sesi soal jawab sidang akhbar Facebook Live hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga telah meminta Peguam Negara untuk melihat perundangan yang ada supaya tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada majikan yang enggan memberikan kerjasama.

“Jangan tunggu tindakan diambil kerana langkah ini demi kebaikan mereka, supaya jangkitan tidak berlaku dan kilang tidak ditutup,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Benteng turut akan diisytiharkan sebagai ‘persona non grata’, sama seperti warga asing yang didapati terbabit dan disabitkan dengan kesalahan jenayah di negara ini.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2020/12/15/majikan-diseru-beri-kerjasama-saring-pekerja-asing/