Mahkamah dijadikan gelanggang ‘tegakkan benang basah’ – Sultan Nazrin

Mahkamah dijadikan gelanggang ‘tegakkan benang basah’ – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah keadaan masa kini memperlihatkan ramai pihak yang menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah, selain menggunakan pelbagai hujah menafikan perbuatan jenayah.

Titah Baginda, mereka juga bersedia membayar yuran guaman yang tinggi, hasil daripada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau perlakuan dosa.

Baginda bertitah, perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai, turut memberikan implikasi terhadap individu lain serta rakyat sesebuah negara.

“Malangnya ketika ini, oleh sebab Islam lebih dijadikan pakaian luaran, ramai insan tidak merasa takut melakukan dosa dan tidak berasa gentar untuk menghadapi seksa kubur dan azab neraka.

“Hinggakan insan yang telah melakukan pelbagai jenayah dan dosa, memilih menjadikan mahkamah gelanggang untuk menegakkan benang basah, tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

“Sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan barisan Exco negeri.

Semai nilai Islam

Sultan Nazrin bertitah, perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguatkuasa, mahkamah dan penjara.

Titah baginda, jenayah lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemai nilai-nilai Islam secara berkesan, sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan.

“Setiap insan yang melakukan dosa, boleh menipu hakim, mahkamah, peguam, masyarakat dan orang ramai, tetapi mereka tidak boleh menipu dirinya dan tidak boleh menipu Allah Subhanahu Wata’ala,” titah Baginda.

Justeru Baginda bertitah, pendekatan pencegahan, menerapkan nilai-nilai Islam secara berkesan, merupakan pendekatan yang wajib diberikan fokus.

Selain itu titah Sultan Nazrin, angka jenayah yang rendah perlu dijadikan pengukur kejayaan pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam.

Belia berkarisma perlu diberi peluang

Titah Baginda lagi, golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program yang diadakan bagi menyuntik dinamisme baharu.

“Sejarah turut mencatatkan karisma kepimpinan anak muda mencipta kejayaan apabila diberikan peluang seperti yang dibuktikan oleh Muhammad al-Fatih, menaiki takhta Kesultanan Uthmaniyyah ketika berusia 19 tahun.

“Ketika berusia 21 tahun, beliau berjaya menakluki Constantinople. Alexander The Great mewarisi takhta pemerintahan Macedonia ketika berusia 20 tahun, sementara Salahuddin al-Ayubi menjadi Sultan di Mesir dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyah ketika berusia 37 tahun,” titah Baginda.

Sultan Nazrin bertitah, golongan remaja wajib didampingi, suara didengari, pandangan difahami dan kehadiran mereka diiktiraf, agar program-program yang dianjuri atas nama Islam, berbentuk lebih relevan.

Mengambil iktibar daripada pelbagai sumber akan peranan penting golongan remaja mencipta sejarah, Sultan Nazrin memperkenankan, buat pertama kalinya, melantik dua orang mewakili belia, seorang lelaki dan seorang wanita, sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dengan pelantikan seorang lagi anggota wanita, MAIPk kini memiliki tiga orang anggota wanita. | AA