Mahkamah diberitahu, Shahrir terima elaun bulanan ahli parlimen RM25,700

Mahkamah diberitahu, Shahrir terima elaun bulanan ahli parlimen RM25,700

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima elaun bulanan berjumlah RM25,700 daripada Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen semasa menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Rosli Mat Jinun, 49, berkata semasa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu dilantik sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 8 Julai 1978, beliau menerima elaun bulanan, keraian, telefon, elaun tetap pemandu kereta, elaun perjalanan, bayaran khas, elaun bahan api kenderaan dan tol.

“Tan Sri Shahrir telah dilantik sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 8 Julai 1978. Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, bermula 5 Mei 2013, Tan Sri Shahrir menerima elaun-elaun tersebut berjumlah RM13,108.59.

“Namun, bermula tarikh 1 Jan 2015, pelarasan elaun Ahli Dewan Rakyat telah diselaraskan dan Tan Sri Shahrir menerima elaun-elaun tersebut berjumlah RM25,700.

“Setiap Ahli Parlimen yang menjadi anggota Ahli Dewan Rakyat, layak menerima elaun bulanan tetap itu,” katanya.

Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian semasa membacakan penyataan saksinya pada perbicaraan bekas pengerusi Felda itu yang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosli yang antaranya ditugaskan untuk menguruskan pembayaran dan pemberhentian elaun ahli Parlimen yang terdiri daripada Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat, turut mengesahkan bahawa elaun-elaun tersebut dibayar oleh Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen ke akaun Public Bank milik Shahrir.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.