Mahasiswa mengeluh tiket penerbangan harga ‘kayangan’

Mahasiswa mengeluh tiket penerbangan harga ‘kayangan’

Pelepasan lima hari bermula 17 hingga 21 Nov untuk mahasiswa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menjadi tidak bermakna bagi anak Sabah disebabkan harga tiket penerbangan yang terlampau mahal.

Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) Mohd Shahrul Izzat Basri berkata, keadaan itu menimbulkan kerisauan kepada mahasiswa dari Sabah kerana mereka tidak mampu pulang mengundi.

Katanya, tiket penerbangan mahal ke Sabah bukan perkara baharu, malah isu itu sentiasa disebut sebagai senario tahunan.

“Hal ini dek kerana belum ada jalan penyelesaian yang konkrit dan terancang diambil, khususnya oleh kerajaan negeri Sabah, ibaratnya ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Timbalan Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Sabah Mohd Faizal Kambah.

Katanya, Marsis sebelum ini juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu harga tiket ke Borneo yang mahal pada musim perayaan, membebankan mahasiswa dan anak perantau lain untuk pulang menyambut Hari Raya.

“Perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, menteri pengangkutan, menteri tugas-tugas khas dan ketua menteri kerana mahasiswa Sabah yang ada kesedaran mengundi tidak dapat pulang mengundi,” katanya.

Tarikh pengundian bagi PRU15 ditetapkan pada 19 Nov. Sabah hanya melaksanakan undian bagi kawasan Parlimen memandangkan DUN tidak dibubarkan.