‘Lobi’ jawatan TPM, ini respon Ismail Sabri

‘Lobi’ jawatan TPM, ini respon Ismail Sabri

‘Lobi’ jawatan TPM, ini respon Ismail Sabri.  Tidak ada keperluan untuk Ismail Sabri Yaakob melantik timbalan perdana menteri buat masa ini.

Malah kata perdana menteri kesembilan itu, sebenarnya dalam keadaan sekarang dia seakan-akan memiliki sehingga empat timbalan – merujuk kepada empat menteri kanan yang ada dalam kabinet.

“Biar dululah…” katanya sambil tersenyum, “kerana setakat hari ini seperti yang kita tahu saya ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya seolah-olah kita ada empat TPM.”

Ismail Sabri berkata demikian semasa diwawancara media massa tempatan di Putrajaya beberapa hari lalu sempena setahun perkhidmatannya sebagai perdana menteri.

Naib presiden Umno itu dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin – yang terpaksa berundur selepas kehilangan sokongan majoriti di parlimen – pada 20 Ogos 2021.

Untuk rekod Bersatu dikatakan sedang cuba mengadakan pertemuan rasmi dengan Ismail Sabri bagi membincangkan kedudukan kabinet ekoran beberapa perkembangan semasa politik.

Antaranya tindakan salah seorang bekas ahli parlimen PKR yang menyertai Bersatu untuk seketika sebelum meninggalkan parti tersebut baru-baru ini iaitu Zuraida Kamaruddin.

Bersatu juga menegaskan mereka ada membuat perjanjian tertentu dengan Ismail Sabri sebelum ahli parlimen Bera itu dilantik menggantikan Muhyiddin.

Kata Ismail Sabri keempat-empat menteri kanan terbabit kini mendapat faedah yang hampir sama dengan seorang timbalan perdana menteri, termasuk pasukan pengiring keselamatan.

“Mereka pun lebih kurang TPM juga,” katanya.

PAS tak timbulkan isu

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan pada akhir Feb 2020 melalui tindakan berpaling tadah sekumpulan ahli parlimennya, Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun tidak seperti kebiasaan, dia tidak melantik mana-mana ahli parlimen menjadi timbalan perdana menteri, sebaliknya memberikan jawatan menteri kanan kepada empat pemimpin politik.

Ismail Sabri adalah salah seorang daripadanya. Dia diberikan jawatan sebagai menteri pertahanan.

Apabila Ismail Sabri mengambil alih jawatan Muhyiddin dia mengekalkan formasi tersebut. Ketika ini empat menteri kanan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, Radzi Jidin (Menteri Pendidikan), Hishammuddin Hussein (Menteri Pertahanan) dan Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya).

Dua daripada mereka – Azmin dan Radzi – merupakan pemimpin Bersatu, manakala Hishammuddin mewakili Umno dan Fadillah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kata Ismail Sabri pentadbiran kerajaan ketika ini berjalan lancar dan tidak membebankannya sehingga perlu melantik timbalan perdana menteri.

Menurut Ismail Sabri, daripada semua parti yang menjadi kerajaan hanya PAS saja yang tidak mempunyai wakil sebagai menteri kanan walaupun jika melihat keadaan semasa, tambahnya, parti itu boleh membuat permintaan tersebut.

“Kalau tidak PAS pun boleh demand (menuntut) sebab kenapa ada Umno, kenapa ada GPS, kenapa ada dua dari Bersatu.

“Sepatutnya seorang dari Bersatu, seorang PAS, seorang Umno dan seorang GPS, tapi PAS tak pernah timbulkan isu ni.

“Maknanya saya rasa semua orang menerimalah (bahawa dalam kerajaan) ada sedikit kelebihan dan dan sedikit kekurangan,” katanya.

Tambah Ismail Sabri dia tidak mahu ada sesuatu isu yang dibesar-besarkan sehingga merosakkan hubungan sesama parti dalam kerajaan.

Kata bekas ketua pembangkang itu, yang “banyak bercakap” mengenai jawatan timbalan perdana menteri itu adalah “orang di luar” manakala pihak dalam kerajaan tidak ada isu yang timbul.