“Lemah…” Warganet ‘ejek’ lambang Hari Kebangsaan menyerupai simbol ‘WiFi’

“Lemah…” Warganet ‘ejek’ lambang Hari Kebangsaan menyerupai simbol ‘WiFi’
Lambang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini yang didedahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa semalam diejek warganet kerana menyerupai simbol WiFi, yang kelajuannya turut dipersoalkan.
Sejak semalam, ramai yang menyuarakan pandangan di media sosial berhubung lambang itu.

Lambang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini yang didedahkan semalam
“Adakah kementerian secara simbolik cuba mengatakan perpaduan Malaysia masih lemah, seperti WiFi kita?” kata pengguna Facebook, Jeevithan P Ganasan.
Seorang pengguna Twitter pula berpendapat, pereka lambang itu mungkin mendapat ilham ketika berdepan masalah sambungan internet.
“Pereka itu mungkin mendapat idea ketika hadapi masalah WiFi. Ia lengkap, biru untuk Celcom, kuning bagi DiGi dan merah untuk Maxis-Hotlink,” katanya.
Galvin Tan dalam catatan Twitter berkata, lambang itu cantik tetapi mungkin lebih sesuai untuk promosi 5G.
Semalam, Annuar mengumumkan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia diaspirasikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
“‘Keluarga Malaysia’ merujuk masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
“Frasa tambahan ‘Teguh Bersama’ pula membawa maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan,” kata Annuar, sambil menambah lambang berkonsepkan jalur liputan internet itu melambangkan pembangunan prasarana, sistem komunikasi, dan pendigitalan semakin maju untuk kemudahan rakyat.