Lelaki warga asing ‘kantoi’, buat laporan palsu konon dirompak bakal didakwa

Lelaki warga asing ‘kantoi’, buat laporan palsu konon dirompak bakal didakwa

Lelaki warga asing ‘kantoi’, buat laporan palsu konon dirompak bakal didakwa.

Polis mengesahkan pasangan kekasih yang mendakwa disamun oleh sekumpulan lelaki di Bangsar, semalam telah membuat laporan palsu.

Awal hari ini, menerusi satu perkongsian yang tular di Twitter mendakwa, polis yang bertugas dikatakan telah memaksa pasangan kekasih terbabit menarik semua laporan yang dibuat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, kenyataan mengenai layanan polis terhadap pengadu adalah tidak benar serta spekulasi berkaitan kenyataan yang tular di Twitter perlu dihentikan.

Beliau berkata, pada 7 Mei lalu, pengadu yang juga seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa disamun ketika sedang merokok di kaki lima, 2 pagi.

“Dalam laporan itu, pengadu mendakwa sekumpulan lelaki telah meminta wang dan memukulnya di muka sebelum mengambil barangan peribadi seperti sebentuk cincin perak, rantai emas, telefon bimbit jenis i-Phone dan wang tunai.

“Kerugian dianggarkan sebanyak RM6,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam bagaimanapun berkata, pada 8 Mei lalu, semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati tiada kejadian samun atau pertengkaran sepertimana yang dinyatakan oleh pengadu dalam laporan dibuatnya.

Katanya, rakaman CCTV juga menunjukkan pengadu bersama dua orang wanita sedang menyeberangi jalan di hadapan sebuah bank di Jalan Telawi menuju ke tempat letak kereta dalam keadaan tenang dan tidak tergesa- gesa.

Justeru, beliau berkata, keterangan awal pengadu kepada polis didapati ada keraguan dan tidak konsisten.

“Berdasarkan keterangan saksi, polis berada di lokasi bagi menyuraikan beberapa pelanggan yang menjerit-jerit kerana disyaki mabuk di kelab yang dikunjungi pengadu pada hari kejadian.

“Namun, CCTV tidak memaparkan sebarang kejadian samun atau pertengkaran yang melibatkan pengadu dan teman wanitanya di lokasi kejadian,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mendapati pengadu telah membuat laporan palsu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, seorang ahli parlimen menggesa polis menyiasat dakwaan polis di balai polis Kuala Lumpur telah mengganggu seorang lelaki yang dirompak di Bangsar serta teman wanitanya.

Selain itu, seorang penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Tashny Sukumaran pula dalam Twitternya mendakwa polis menuduh lelaki itu memfailkan laporan palsu selepas dirompak dan juga memintanya menarik balik laporan itu.