Lelaki terjun sungai elak dicekup polis

Lelaki terjun sungai elak dicekup polis

Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Sembrong Kecil ketika cuba melarikan daripada serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, 4.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, lelaki yang berusia 32 tahun itu didapati hilang selepas terjun ke dalam sungai berkenaan bersama empat lagi lelaki lain.

Katanya, sebelum itu, satu serbuan dilakukan di bawah jambatan di sungai berkenaan dan pihaknya mendapati terdapat tujuh orang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan dipercayai penagih dan pengedar dadah.

“Bagaimana pun hanya dua orang lelaki berusia 39 dan 41 tahun berjaya ditahan, manakala lima orang lagi berjaya melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Sembrong Kecil sedalam kira-kira tiga meter itu.

“Hasil daripada pemerhatian anggota, mendapati salah seorang daripada lima orang lelaki yang terjun itu tidak timbul semula dan dipercayai lemas sebelum pasukan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kluang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang dipanggil untuk melakukan kerja mencari dan menyelamat,” katanya melalui kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Low, hasil saringan air kencing terhadap dua orang lelaki yang berjaya ditahan itu, pihaknya mendapati kedua-duanya positif dadah jenis MOP dan masing-masing mempunyai empat hingga sembilan rekod kesalahan lampau.

“Turut berjaya dirampas adalah tiga peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki heroin dengan anggaran berat kasar 2.53 gram dan Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1962,”katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Akob Sedek berkata, operasi pencarian mangsa bersambung 8.30 pagi ini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/667149/lelaki-terjun-sungai-elak-dicekup-polis