Lelaki tempatan bersama warga asing ditahan memiliki dadah

Lelaki tempatan bersama warga asing ditahan memiliki dadah

Seorang lelaki tempatan bersama lelaki warga asing ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan kerana memiliki dadah di perairan laut Tabangka, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan, Deputi Superintendan (DSP) Rusdin Banin berkata kedua suspek berumur 38 dan 41 tahun.

“Pada awal pagi tadi semasa pegawai dan anggota PPM melakukan rondaan telah menahan dan memeriksa sebuah perahu jenis kayu yang dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan badan telah menemukan 1 beg dalam simpanan suspek dan pemeriksaan lanjut didapati mengandungi lipatan timah dan beberapa paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine serta pemetik api.

Rusdin berkata anggaran nilai rampasan dalam tangkapan ini dianggarkan berjumlah RM13,800.00 termasuk bot dan enjin.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine (syabu) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (A) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Berita penuh :https://www.utusanborneo.com.my/2020/11/17/dua-lelaki-ditahan-ppm-sandakan-kerana-miliki-dadah