Lelaki maut ditikam botol arak

Lelaki maut ditikam botol arak

Seorang lelaki warga tempatan maut dalam satu kejadian pergaduhan selepas badan ditoreh dan ditikam dengan botol arak di sebuah lorong di Jalan Telawi 2 berhampiran dengan pusat beli-belah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun tersebut bersama rakannya berusia 30 tahun baru sahaja minum minuman keras di sebuah kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ketika dalam perjalanan menuju ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya telah berjumpa dengan kumpulan suspek sebelum berlaku pergaduhan.

“Mangsa telah ditoreh pada bahagian badan menggunakan pisau dan ditikam dengan botol arak oleh suspek. Mangsa yang cedera itu telah melarikan diri ke arah pusat beli-belah tersebut sebelum terjatuh di hadapan sebuah kedai.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan rakaman video berdurasi 38 saat membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan di sebuah lorong berhampiran dengan pusat beli-belah, awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, motif kejadian dipercayai akibat dendam antara mangsa dan suspek.

“Polis telah mengenalpasti lima orang suspek dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Sementara rakan mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah. – K! ONLINE