Lelaki maut ditetak tangan, muka sebelum dibakar

Lelaki maut ditetak tangan, muka sebelum dibakar

Lelaki maut ditetak tangan, muka sebelum dibakar. Operasi memadam kebakaran di bangunan panggung wayang lama di Simpang Kuala, Alor Setar berakhir dengan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di tangan dan muka sebelum dibakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Alor Setar menerima panggilan berhubung kebakaran di bangunan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, G Suresh Kumar berkata, anggota bomba yang melakukan operasi memadam kebakaran kemudian menemui mayat seorang lelaki di bawah sofa dan tilam yang terbakar.

Katanya, pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian mendapati terdapat mayat lelaki tanpa identiti berusia lewat 40-an dalam bilik tingkat atas bangunan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tetakan di tangan dan muka mayat yang dipercayai dibunuh. Kita juga mendapati terdapat sofa di atas mayat dan tilam yang dibakar bertujuan memastikan mangsa mati,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Turut berada di lokasi ialah Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir.

Suresh berkata, susulan kejadian, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berada di sekitar lokasi pada jam 9.15 pagi bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan di lokasi turut menemui pisau di bahagian bawah bangunan panggung wayang lama berkenaan.

“Anggota polis mengesan suspek yang berada di sekitar bangunan dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah sebelum ini.

“Kita percaya kejadian ini mungkin membabitkan lebih seorang suspek, tetapi tidak membabitkan kumpulan samseng atau sebagainya,” katanya.

Suresh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, panggung wayang lama terbabit menjadi tempat gelandangan berehat dan tidur pada waktu malam berikutan dibiarkan oleh pemiliknya sejak sekian lama.

 

Turut baca