Lelaki maut dilanggar kereta api di Beaufort Sabah

Kelibat beberapa ekor anjing mengerumuni satu objek terbujur membawa kepada penemuan satu mayat lelaki yang dipercayai dilanggar kereta api dalam kejadian di Batu 62 1/2, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Sabiri Idong, 56, ditemui dalam keadaan terbaring di landasan kereta api dengan beberapa kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.
Katanya, maklumat kejadian dilaporkan pemandu kereta api berusia 47 tahun yang memaklumkan penemuan mayat mangsa.
“Pemandu terbabit dimaklumkan Ketua Stesen Keretapi Beaufort bahawa terdapat satu mayat ditemui di landasan dipercayai dilanggar kereta api.
“Mayat itu ditemui seorang lagi pemandu kereta api jenis kecil kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan dari Stesen Halogilat menuju ke Beaufort untuk mengambil barang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmir berkata, pengadu memaklumkan, pada jam 1.30 tengah hari, dia memandu kereta api dari Stesen Beaufort menuju ke Stesen Halogilat. Selepas menurunkan penumpang, dia kemudian berpatah balik ke Stesen Beaufort dan tiba kira-kira jam 3 petang.
“Namun sepanjang perjalanan pergi dan balik, beliau tidak mengesan sesiapa berada di landasan serta tidak menyedari pun berlaku kemalangan sehingga dimaklumkan ketua stesen itu,” katanya.
Azmir berkata, mangsa yang parah di bahagian leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk di bedah siasat dan kes masih dalam siasatan polis namun ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/756946/lelaki-maut-digilis-kereta-api