Lelaki 57 tahun ditahan berhubung kes bunuh petugas wanita IKRAM

Lelaki 57 tahun ditahan berhubung kes bunuh petugas wanita IKRAM

Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Nik Khatijah Nik Mud yang ditemui dalam keadaan leher dijerut di rumah sewanya semalam.

Dalam kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, suspek ditahan di sekitar daerah Kajang pada 8.45 malam tadi dan direman selama enam hari bermula hari ini.

Terdahulu, Nik Khatijah, pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Muda Malaysia yang berusia 32 tahun, dijumpai mati di kediamannya di Taman Bangi semalam oleh rakan sekerja lelakinya yang pergi ke rumah mangsa pada 9 pagi.

Kata Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan jerut pada bahagian leher mangsa dan dia dipercayai dibunuh lebih daripada 24 jam sebelum ditemukan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. | FMT