Laungan ‘derhaka’, ‘letak jawatan’ gegarkan Dewan ketika Anwar baca kenyataan Agong

Laungan ‘derhaka’, ‘letak jawatan’ gegarkan Dewan ketika Anwar baca kenyataan Agong

Dewan Rakyat kecoh dengan laungan derhaka dan gesaan supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas Yang di-Pertuan Agong mendedahkan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.

Kejadian itu berlaku ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membaca kenyataan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, ini menunjukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan tidak menghormati institusi diraja.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan bertindak mengelirukan Dewan Rakyat.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan Kabinet yang diketuai Muhyiddin telah melanggar Perlembagaan, menghina institusi diraja khususnya Agong dan ini termasuk Takiyuddin mengelirukan Dewan.

“(Mereka) tidak bercakap benar pada Dewan Dan kelirukan rakyat Malaysia. Kita tidak ada pilihan, selain tuntut Perdana Menteri letak jawatan,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Katanya, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat tidak dikemukakan untuk mendapat perkenan baginda.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipetua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon menyifatkan kenyataan Agong itu sebagai “kenyataan media”.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangkit mempersoalkan kenapa Rashid melindungi menteri daripada menjawab perkara itu, selepas beliau meminta perbahasan mengenai pakej rangsangan diteruskan.

Katanya, Yang Dipetua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun perlu meletak jawatan, jika gagal membangkitkan usul yang dikemukakannya semalam mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Lebih ramai Ahli Parlimen kemudiannya menuntut Azhar, Muhyiddin dan Takiyuddin hadir di Dewan Rakyat kerana ketiga-tiganya tiada ketika ini.

Sesetengah penyokong kerajaan kemudian menggesa sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selama 15 minit.

Sumber | FMT