‘Lalok’ dipusat hiburan, dua pasang suami isteri dicekup

‘Lalok’ dipusat hiburan, dua pasang suami isteri dicekup

Dua pasang suami isteri antara 10 individu yang dicekup sedang ‘lalok’ dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, kesemua mereka berusia antara 19 hingga 50 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.

Ketua JSJN Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, tangkapan dibuat melalui Op Pusat Hiburan selepas kesemua individu terbabit didapati positif dadah.

Jelasnya, hasil soal siasat empat daripada individu ditahan merupakan pasangan suami isteri yang berusia 40-an.

“Pasukan JSJN negeri telah menjalankan serbuan di dua pusat hiburan dan seramai 72 pengunjung terdiri daripada 49 lelaki dan 23 wanita diperiksa.

“Hasil saringan ujian air kencing, seramai 10 individu termasuk dua pasang suami isteri dan seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang daripada yang ditahan juga didapati memiliki sebiji pil dipercayai Erimin 5.

“Lelaki tersebut kita tahan bagi membantu sisatan di bawah Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sembilan yang lain termasuk pasangan suami isteri dan penuntut IPT itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya.

Tambahnya, JSJN Melaka akan terus membuat operasi di pusat-pusat hiburan dari semasa ke semasa bagi membendung penyalahgunaan dadah di premis berkenaan.