Laga penumbuk, hanya calon MUDA di kompaun, Najib?

Laga penumbuk, hanya calon MUDA di kompaun, Najib?. Calon MUDA di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Azrol Rahani dikompaun RM1,000 selepas melakukan “fist bump” atau berlaga penumbuk dengan penyokongnya pada hari penamaan calon Sabtu lalu.
Azrol berkata, kompaun itu dikeluarkan pada petang Sabtu oleh pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kulai di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal di pusat penamaan calon.
Pengurus kempennya, Amos Thien mendakwa pihak berkuasa kesihatan “bertindak keterlaluan” dengan mengeluarkan kompaun kepada Azrol dan menegaskan ia adalah “laga penumbuk biasa” dengan penyokong di luar pusat penamaan calon.
Katanya, taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai SOP untuk PRN Johor, yang dihadiri polis dan pihak berkuasa kesihatan, tidak menyebut berlaga penumbuk tidak dibenarkan.
Beliau menegaskan bahawa Azrol dan pasukannya mematuhi SOP serta mempersoalkan kenapa tiada tindakan diambil terhadap pemimpin politik lain atas perbuatan sama.
“Saya berharap pihak berkuasa bertindak adil kerana ini tidak adil kepada kami,” katanya dalam sidang media.
“Kami mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan oleh pegawai, tetapi kompaun RM1,000 ini benar-benar tidak adil,” katanya sambil memegang gambar Najib Razak berlaga penumbuk dalam lawatannya ke Johor baru-baru ini.
Azrol berkata, pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan kompaun itu selepas menerima aduan di media sosial.
Turut baca
- Bantu mangsa banjir di Terengganu, ‘Abang Viva’ kembali beraksi
- Gara-gara kekurangan pelapis, tiada minat, kerjaya penggali kubur bakal pupus
- Pilu!!! Empat beranak maut, pemandu Hilux akan ditahan
- Banjir Terengganu: Lima sekeluarga termasuk wanita hamil panjat bumbung selamatkan diri
- Pegawai kanan polis maut disyaki tembak kepala sendiri guna pistol