Ku Li tegas tidak akan mengundi Belanjawan 2021

Ku Li tegas tidak akan mengundi Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, menegaskan tidak akan menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang bakal melalui bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan beliau bahawa keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat disahkan di Parlimen.

Selain itu, beliau menegaskan, Ahli Dewan Rakyat berhak menyatakan sokongan atau bantahan terhadap Belanjawan 2021, walaupun individu itu berada dalam Blok Kerajaan.

“Saya tidak akan mengundi untuk Belanjawan 2021. Malah saya juga tidak menyertai perbahasan bagi Belanjawan 2021 sebelum ini.

“Saya berada di sini, berkongsi platform dengan Tun Dr Mahathir, kerana saya mahu memastikan kita mempunyai kerajaan yang sah. Kerajaan yang kita ada pada hari ini tidak sah… dan Perdana Menteri yang berada dalam pejabat adalah Perdana Menteri yang tidak sah,” dakwanya lagi.

Beliau, yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, berkata demikian di sidang media bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di ibu negara, hari ini.

Pada 19 November lepas, Ku Li telah menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk tidak menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.

“Mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada Perdana Menteri dan para menteri beliau sah atau tidak dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting Perlembagaan.

“Ia akan menghasilkan akibat buruk dalam usaha kita mendukung Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya seperti yang terkandung dalam surat tersebut.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau boleh dikenakan tindakan displin kerana mempunyai prinsip yang berlainan dengan UMNO, veteran politik itu berkata, Ahli Dewan Rakyat bebas untuk menyatakan sokongan atau sebaliknya.

“Tindakan displin apa? Semua orang bebas menyokong sesiapa sahaja yang mereka kehendaki,” katanya ringkas.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/ku-li-sahkan-tidak-akan-mengundi-belanjawan-2021-273128