Ku Li sifatkan sidang Parlimen 5 hari sebagai mengarut, buang masa

Ku Li sifatkan sidang Parlimen 5 hari sebagai mengarut, buang masa

Keputusan kerajaan memanggil sidang Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai disifatkan sebagai mengarut oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu berkata, tempoh singkat persidangan tidak mencukupi bagi perbahasan isu rakyat, termasuk meneliti perbelanjaan kerajaan yang berbilion sejak pengisytiharan darurat dilaksanakan.

Sebagaimana dicadang kerajaan, saya rasa buang masa saja sidang Parlimen lima hari, nak buat cara hibrid. Kita mahu cara bebas macam biasa, tapi mereka (kerajaan) kata bimbang orang tua dijangkiti (Covid-19) kalau ada sidang Parlimen bersemuka, ini semua mengarut.

“Bagilah peluang kepada wakil rakyat dipilih bersuara, sekarang ini (bersuara) di media sosial saja, biar mereka (wakil rakyat) suarakan secara rasmi di Parlimen, bukan hanya lima hari.

“…sebab kita nak tentukan perbelanjaan diperuntukan selama satu tahun menerusi bajet. Ini belanja lebih dari beribu juta diperuntuk, nak buat Parlimen lima hari, tak patut,” katanya pada program bersama Ku Li disiar Sinar Harian, hari ini.

Pada 5 Julai, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Parlimen akan bersidang selama lima hari mulai 26 Julai ini, manakala Dewan Negara pula selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Dalam perkembangan sama, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li memaklumkan bimbang dengan situasi ekonomi ketika ini dan isu negara berbangkit sekian lama perlu dibahas di Parlimen demi mencari penyelesaian terbaik.

“Ada pakar nasihat saya supaya saya ambil tahu kemungkinan yang perlu kita hadapi (kesan susulan wabak Covid), pakar beritahu saya kita perlu sekurangnya 10 hingga 15 tahun baru boleh pulihkan ekonomi.

“Kalau 15 tahun baru boleh pulih ia bermakna satu generasi, jadi kita (orang berumur) tak dapat merasai (keadaan kembali pulih), itu saya bimbang,” katanya.

Sumber | FMT