Kompaun RM10,000 bermula hari ini

Kompaun RM10,000 bermula hari ini

Individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM10,000 bermula hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tersebut susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada pukul 12.01 tengah malam tadi.

“Setiap notis kompaun yang dikeluarkan adalah bernilai RM10,000 sekiranya didapati bersalah melanggar SOP namun jumlah tersebut bergantung kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah(PKD) untuk menetapkan nilai kompaun sebenar.

“Polis tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan nilai kompaun yang sebenar dan hanya diberi kuasa untuk mengeluarkan notis. Hanya PKD yang boleh menawarkan jumlah kompaun yang dirasakan bersesuian,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang dari orang ramai.

“Keputusan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa virus covid-19 ini masih wujud dan akan memudaratkan ramai orang sekiranya tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Individu yang dikenakan kompaun ini juga akan diberi tempoh selama dua minggu untuk membayar kompaun tersebut dan rayuan nilai kompaun juga boleh dibuat kepada PKD dalam tempoh itu,” jelasnya.

Tambah Abdul Hamid, pihaknya akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem yang dibangunkan dalam masa terdekat.

“Sistem ini akan dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan sementara PDRM akan membekalkan data berdasarkan kompaun yang direkodkan. Ini bagi memudahkan kita mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang.

“Pesalah yang gagal membayar jumlah yang dikenakan selepas kompaun dikeluarkan akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan,” ujarnya. K! ONLINE.