KKM sambut baik pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi

KKM sambut baik pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik keputusan pengisytiharaan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah, yang menyebabkan pilihan raya kecil di kawasan itu ditangguhkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proklamasi darurat itu dapat mencegah penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

“KKM telah mengesyorkan agar pilihan raya ditangguhkan buat ketika ini.

“Kita mesti mengambil iktibar daripada PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah yang telah menyebabkan peningkatan kes pasca PRN,” kata Dr Noor Hisham menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya pada Rabu.

Beliau pada sidang media harian KKM pada Rabu juga berkata sejak awal lagi KKM mengesyorkan untuk mengelakkan sebarang pilihan raya.

“Memang KKM dari awal amat bimbang jika ada pilihan raya, sama ada PRK (Pilihan Raya Kecil), PRN atau PRU (Pilihan Raya Umum). Kami mengesyorkan dari dulu lagi kalau boleh, elak pelaksanaan pilihan raya.

“Kami lihat selepas PRN Sabah, terdapat peningkatan kes COVID-19 dan isu-isu yang timbul yang meningkatkan usaha membendung COVID-19.

“Jadi, kalau boleh kami mencegah satu lagi pilihan raya untuk kami mencegah penularan COVID-19 dalam negara ini,” katanya.

Untuk rekod, Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan jumlah kes COVID-19 melebihi 10,000 kes.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, Al Sultan Abdullah bertitah, amatlah wajar Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

Menurut beliau, Al Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat di Batu Sapi selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara pada pukul 4 petang Rabu.

Sumber berita : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kkm-sambut-baik-pengisytiharan-darurat-di-parlimen-batu-sapi-269061