KKM akan mula guna air liur kumpul sampel ujian Covid-19

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan kaedah persampelan ujian Covid-19 dengan menggunakan air liur di peringkat hospital dan diperkembangkan ke fasiliti kesihatan lain.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kaedah persampelan ini adalah selamat dan tidak invasif berbanding persampelan kaedah “nasopharyngeal” dan “oropharyngeal swab”, dan akan mempercepatkan dan meningkatkan saringan Covid-19.
“Kaedah ini juga bersifat “self collected” dan akan menjimatkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Adham, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah menjalankan penilaian bagi kaedah persampelan menggunakan air liur ini dan ia sesuai bagi ujian “real time reverser transcriptase (RT-PCR) Covid-19).
IMR sedang melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK antigen (RTK Ag),” katanya.
Tambahnya, persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan air liur sudah dijalankan di beberapa negara, bahkan ia lebih murdah dan salah satu kaedah mengumpul sampel yang paling konsisten.
“KKM akan memulakan persampelan menggunakan air liur ini di peringkat hospital dan diperkembangkan ke fasiliti kesihatan yang lain,” katanya.
Sementara itu, Adham turut memaklumkan bahawa dalam usaha menamatkan wabak Covid-19, KKM mengalu-alukan sumbangan dan sokongan pelbagai pihak untuk menjayakan program imunisasi demi kesihatan dan keselamatan rakyat di seluruh negara.
Adham berkata demikian selepas KKM menerima sumbangan 2.7 juta unit picagari khas LDV yang bernilai RM891 ribu, daripada Etiqa Family Takaful Berhad.
“Semua picagari LDV akan digunakan bagi pelaksanaan Fasa 1 pelan imunisasi Covid-19 yang melibatkan anggaran seramai 500,000 petugas barisan hadapan.
“ Sumbangan ini setidak-tidaknya dapat membantu usaha kerajaan Malaysia dalam menangani wabak Covid-19,” katanya. | FMT