Kini Saiful pula tempelak Syed Badli pendek akal tuduh Azmin

Kini Saiful pula tempelak Syed Badli pendek akal tuduh Azmin

Ketua Pemuda Negara Saiful Bahari membidas Timbalan Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman yang melabel bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai “ahli politik paling jahat abad ini”.

Saiful Bahari, yang meninggalkan PKR untuk bergabung dengan Pemuda Negara yang diasaskan oleh bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin, mengatakan bahawa Syed Badli adalah orang yang “akalnya pendek”.

“Kenapa saya kata akal pendek? Kerana kenyataan yang dia keluarkan kepada Azmin dan kepimpinan yang lain.

“Kita lihat dalam PKR, yang keluar dari parti bukan hanya anggota biasa atau AJK Cabang, ranting dan sebagainya. Yang keluar dari PKR itu adalah mereka yang berjawatan tinggi dan menang dalam pemilihan,” kata Saiful yang juga bekas exco Pemuda PKR.

Memetik tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jeyakumar, yang merupakan bekas pemimpin PKR terbaru yang meninggalkan parti itu, Saiful mendakwa itu adalah tanda kelemahan PKR, yang tidak dihiraukan oleh Syed Badli.

“Ini menunjukkan kelemahan yang berlaku di dalam PKR. Jangan salahkan Azmin. Saya rasa ini kenyataan pendek akal, busuk hati. Syed sendiri kalah dalam pemilihan parti. Saya exco AMK dengan undi paling tinggi tapi kami keluar (parti) kerana hilang kepercayaan,” kata Saiful yang juga exco Pemuda Bersatu.

Awal hari ini, Syed Badli mengatakan Azmin, yang juga Menteri Kanan, sama sekali tidak layak untuk membicarakan moral dan menuding jari kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai isu parti itu.

Tanpa memberikan bukti, dia mendakwa bahawa Azmin merupakan dalang di sebalik tindakan wakil rakyat lompat partu sehingga membawa kepada kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan.

Dia menjawab kenyataan bersama Azmin dan sembilan bekas ahli parlimen PKR yang mengatakan bahawa banyak ahli parti telah menolak Anwar kerana PKR telah lari dari perjuangan dan idealisme. | MK