Kilang proses roti, biskut diserbu guna logo halal tidak sah

Kilang proses roti, biskut diserbu guna logo halal tidak sah

Sebuah kilang memproses makanan yang memasarkan produk menggunakan logo halal tanpa kebenaran diserbu hasil risikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dan aduan awam di sebuah kawasan perindustrian di sini semalam.

Operasi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Perak bersama Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) diadakan bagi memeriksa penggunaan logo halal di premis yang dijadikan tempat memproses roti dan biskut itu.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, ketika diperiksa pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakuan oleh pihak berkuasa.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati syarikat ini menyimpan barang kawalan iaitu gula dan tepung gandum tanpa permit menyimpan barang kawalan berjadual yang sah.

“Kita merampas 400 bungkus biskut yang siap dipek, 24,000 keping beg plastik kosong roti dan 4,345 beg plastik kosong biskut yang menggunakan logo halal yang kesemuanya bernilai RM21,623.

“Kesalahan ini disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara untuk individu dan denda RM250,000 bagi syarikat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 pula, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM15,990 meliputi 285 guni tepung gandum seberat 7.1 tan dan 10 guni gula pasir seberat 500 kilogram.

Kata Saifullizan, rampasan ini pula disiasat di bawah Seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mengemukakan lesen atau permit.

“Jika sabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara boleh dikenakan manakala denda sehingga RM3 juta pula bagi kesalahan yang berikutnya termasuk penjara.

“Kita ingin mengingatkan pengguna dan peniaga supaya peka terhadap penggunaan logo halal yang sah dan mengemukakan aduan berhubung perkara itu melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 atau datang ke mana-mana pejabat KPDNHEP berdekatan,” ujarnya. – K! ONLINE