Ketua Pembantu Tadbir mengaku tidak salah buat tuntutan palsu untuk majlis hari raya

Ketua Pembantu Tadbir mengaku tidak salah buat tuntutan palsu untuk majlis hari raya

Seorang Ketua Pembantu Tadbir sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi majlis jamuan hari raya di rumahnya tujuh tahun lalu.

Tertuduh Noradlina Idris, 43, yang ketika kejadian bekerja yang kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Difahamkan tertuduh kini bekerja di sebuah kementerian lain yang turut memegang jawatan Ketua Pembantu Tadbir.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga Noradlina didakwa mengemukakan tiga dokumen iaitu Pesanan Kerajaan yang dilampirkan bersama tiga invois masing-masing bertarikh 13,14 dan 18 Ogos 2014 yang ketiga-tiganya berjumlah RM11,350.

Kesemua dokumen dan invois itu adalah palsu mengenai pembayaran pembekalan makan tengahari dan petang bagi perjumpaan YB Menteri (ketika itu) bersama tetamu pada Ogos 2014 di Bangunan Sultan Abdul Samad yang mana sebenarnya pembayaran itu adalah bagi perkhidmatan katering Majlis Hari Raya tertuduh pada 16 Ogos 2014 di kediamannya di Bandar Seri Putra, Bangi.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (ketika kejadian) di Putrajaya pada Ogos 2014 yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa daripada SPRM Abdul Muntaqim Abdul Aziz menawarkan jaminan RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan, melapor diri di pejabat SPRM dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan tidak bekemampuan dengan jaminan yang dicadangkan.

“Saya ibu kepada empat orang anak mohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan ” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan turut menetapkan syarat sama seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 4 Jun ini ditetapkan sebutan semula kes. – K! ONLINE

COMMENTS