Kesilapan Ahmad Amzad dalam fakta expo 2020 Dubai kelemahan PN

Kesilapan Ahmad Amzad dalam fakta expo 2020 Dubai kelemahan PN

KESILAPAN AHMAD AMZAD DALAM FAKTA EXPO 2020 DUBAI BUKTI KELEMAHAN PN.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dari PAS melalui satu kenyataan melalui laman Facebooknya semalam menyatakan Palestin mengambil bahagian di EXPO DUBAI 2020. Beliau menemplak kami kerana kami mendesak Malaysia menarik diri dari expo tersebut dan beliau menyatakan tiada sebab Malaysia harus menarik diri.

Kenyataan YB Amzad selaku Timbalan Menteri MOSTI menujukkan beliau tidak cakna dan tidak peka tentang perkembangan dunia Islam setelah berada dalam kerajaan.

Palestin telah menarik diri dari EXPO 2020 DUBAI sejak 17 Ogos 2020 lagi disebabkan pengiktirafan Israel oleh UAE dan penyertaan Israel melalui jemputan UAE.

Penarikan diri Palestin dari EXPO DUBAI dilaporkan secara meluas oleh media dunia termasuk akhbar Palestin Post 24, Middle East Monitor, Anadolu Agency, WAFA, Al Najah bahkan portal akhbar Israel sendiri The Times of Israel. Semua ini boleh didapati melalui carian di internet.

Setelah ditegur oleh Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali mengenai kesilapan dalam kenyataannya, beliau telah memadamkan kenyataan tersebut.

Dalam keghairahan beliau bersungguh sungguh mempromosi Expo 2020 Dubai, beliau telah menaikkan papan iklan gergasi berdekatan lapangan terbang Kuala Terengganu untuk EXPO DUBAI 2020.

Ini telah menimbulkan kekecewaan dan kemarahan rakyat bagaimana beliau boleh berbangga dengan penyertaan Malaysia dalam EXPO terbabit.

Rakyat Malaysia melalui 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan bantahan terbuka terhadap tindakan mempromosi EXPO 2020 DUBAI ini.

UAE menjadi negara Islam pertama sebagai tuan rumah setelah bersekongkol dengan negara Zionis Israel laknatullah.

Seolah olah restu dari dunia barat lebih diutamakan dari perjuangan umat Islam di Palestin.

Beliau cuba mengaitkan penyertaan EXPO DUBAI 2020 dengan kerajaan PH di mana semasa itu UAE belum menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

UAE menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel hanya pada bulan Ogos 2020 di mana pada masa tersebut kerajaan Perikatan Nasional telah pun mengambil alih kerajaan sejak Mac 2020.

Setelah gesaan awal kami tidak dilayan, Timbalan Presiden AMANAH telah membuat sidang akhbar pada 3 Disember 2020 mendesak Malaysia untuk menarik diri dari EXPO DUBAI 2020.

PAS dan YB Amzad setelah menjadi kerajaan Melayu Islam Malaysia telah lupa nilai pembelaan rakyat Palestin yang tertindas dan dibunuh.

Mereka lupa mengenai penarikan diri Palestin dari EXPO DUBAI 2020 hanya untuk menjustifikasikan tindakan menyertai Expo tersebut.

Amzad juga turut memperlekeh dan menyindir kempen kami dengan mengatakan kami ini lebih Palestin dari orang Palestin sendiri.

Mereka menuduh kita ingin menjadi hero tetapi mereka sebenarnya telah menjadi zero dari segi kredibiliti malah hilangnya roh semangat pembelaan Palestin setelah menjadi kerajaan melalui tebuk atap.

Lupakah mereka Baitul Maqdis di mana terletaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan antara tiga masjid penting dalam Islam hari ini telah diistiharkan sebagai ibu negara Israel?

9 bulan menjadi kerajaan, menteri menteri dari PAS sanggup mengadai maruah dan prinsip perjuangan Islam.

Lidah ulama ulama PAS juga telah bisu. Tiada sebarang kenyataan atas apa yang berlaku antara UAE Israel.

Malah, suara Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah bertaraf Menteri yang pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Ulama Dunia juga membisu.

Apa lagi yang kita boleh harapkan?

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi
AMANAH Negeri Terengganu.

Berita penuh : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2248087662001820&id=251826234961316