Kes positif di MRSM Batu Pahat, ibu bapa kritik penganjuran Karnival Keluarga Malaysia

Kes positif di MRSM Batu Pahat, ibu bapa kritik penganjuran Karnival Keluarga Malaysia

Kes positif di MRSM Batu Pahat, ibu bapa kritik penganjuran Karnival Keluarga Malaysia. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat melaporkan kes positif Covid-19 dan diarah menutup asrama beberapa hari selepas ibu bapa mengkritik penganjuran Karnival Keluarga Malaysia di situ ketika anak mereka sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kes positif di MRSM Batu Pahat, ibu bapa kritik penganjuran Karnival Keluarga Malaysia

Ibu bapa  memberitahu setakat ini 13 pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan disahkan positif selepas menjalani ujian RTK-Antigen.

Hampir 50 pelajar mengadu tidak sihat, demam, dan muntah-muntah setakat ini, selepas empat kes positif pertama dilaporkan semalam.

Belum dapat dipastikan sama ada penularan terbaharu ini mempunyai kaitan dengan Karnival Keluarga Malaysia yang berlangsung di MRSM Batu Pahat selama tiga hari dari 17 Feb hingga 19 Feb.

Setakat ini tidak ada pengesahan mana-mana pihak bahawa kes terbaharu ini berpunca daripada karnival berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan keresahan ibu bapa terhadap tindakan kementerian membenarkan penganjuran karnival itu meskipun dibantah kerana risiko penularan Covid-19.

Karnival tiga hari itu turut dirasmikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Di media sosial, warganet berkongsi notis perintah tutup premis oleh Kementerian Kesihatan yang memaklumkan bahawa asrama perempuan MRSM Batu Pahat ditutup bermula 24 Feb hingga 2 Mac.

Seorang ibu, yang tidak mahu dinamakan atas faktor keselamatan anak berkata, dia diberitahu bahawa jangkitan berpunca daripada dua guru dan merebak kepada pelajar lain sejak beberapa hari lalu.

Notis perintah tutup premis juga diletakkan di asrama lelaki, tambahnya.

Katanya, lebih dikesalkan ialah ibu bapa hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh anak masing-masing.

“Sehingga sekarang pihak sekolah hanya mendiamkan diri. Kami ibu bapa sendiri terpaksa hubungi Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengetahui status sebenar keadaan anak kami,” katanya dengan nada kecewa.

Katanya, empat pelajar sedia positif semasa Kementerian Kesihatan pergi untuk menampal notis menutup asrama tetapi angka itu bertambah sejak petang semalam.

“Kita ibu bapa sangat risau sebab angka positif meningkat dua kali ganda dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu memberitahu  bahawa beliau turut khuatir memikirkan bagaimana situasi di asrama akan menjejaskan persiapan anaknya untuk menghadapi SPM.

“Calon SPM di sekolah lain sedang berlumba-lumba hadir kelas intensif, anak kami boleh buat apa?” katanya.

“Duduk di dalam bilik masing-masing hanya baca buku sendirian, tengok luar tingkap. Lama-lama boleh ‘mental breakdown’.”

Dalam pada itu, ibu bapa memberitahu bahawa Pusat Kesihatan Daerah memaklumkan bahawa majlis penamaan calon sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor di dewan sekolah itu esok akan diteruskan.

Mereka diberitahu urusan penamaan calon tidak akan mengganggu para pelajar kerana kedudukan dewan dan asrama agak jauh.

“Mana boleh mereka kata begitu. Sudah terang notis penutupan sehingga 2 Mac tetapi dewan sekolah masih boleh digunakan untuk orang luar. Sepatutnya seluruh premis maktab ditutup kepada orang ramai,” katanya.

“Tolonglah tukar ke lokasi lain. Besar kemungkinan SPM pun tak boleh dijalankan kalau tiada tindakan tegas diambil.”

Menurut senarai pusat penamaan calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dewan MRSM Batu Pahat dijadikan lokasi penamaan calon untuk kerusi Dewan Undangan Ngeri (DUN) Semerah.

Peperiksaan SPM dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 20 Mac.

Berita penuh | FMT

 

Turut baca