Kes korban lepasi 10,000, Dewan Rakyat antara kes tinggi, kata Dr Noor Hisham

Kes korban lepasi 10,000, Dewan Rakyat antara kes tinggi, kata Dr Noor Hisham

Minggu ini menyaksikan rekod tertinggi jangkitan baharu dan kes sembuh, pada masa sama angka korban akibat Covid-19 juga telah melepasi 10,000 kes.

Jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal melebihi paras 1,000 dalam tempoh lima hari berturut-turut bermula 2 Ogos apabila sebanyak 1,063 pesakit dilaporkan menerima rawatan.

Semalam, sebanyak 1,097 kes dilaporkan.

Pada 4 Ogos lalu, negara juga menyaksikan dua rekod terbaharu dicatatkan dengan 257 kes kematian dan 19,819 kes baharu yang dilaporkan.

Sebelum itu, sebanyak 17,786 kes dilaporkan pada 31 Julai dan 219 kematian pada 2 Ogos.

Hari berikutnya menyaksikan kes jangkitan mencecah angka 20,000 buat kali pertamanya dengan jumlah sebanyak 20,596 kes.

Situasi semakin buruk pada 6 Ogos apabila 20,889 kes baharu dilaporkan yang menjadi rekod tertinggi pada hari ketiga berturut-turut.

Satu-satunya berita baik dilaporkan ialah negara mencatatkan jumlah kes sembuh tertinggi apabila 16,394 dibenarkan keluar hospital.

Rekod sebelum ini ialah 12,930 pada 29 Julai lalu.

Walaupun kes sembuh semalam berkurangan sebanyak 71 kes namun ia membantu merekodkan angka pesakit yang dibenarkan keluar hospital melepasi 1 juta.

Sehingga semalam, sebanyak 1,009,343 kes sembuh dilaporkan.

Jumlah kes jangkitan melepasi 1 juta pada 25 Julai lalu.

Bilangan kluster kekal berada di bawah paras rekod tertinggi iaitu 42 kluster pada 27 Julai lalu tetapi secara puratanya sebanyak 31 kluster baharu direkodkan pada setiap hari sepanjang minggu lalu.

Kluster tempat kerja terus mendominasi kes jangkitan walaupun pada 3 Ogos kluster tempat kerja dan komuniti berada pada paras sama iaitu masing-masing sebanyak 14 kluster.

Hari berikutnya, sebanyak 20 kluster komuniti direkodkan berbanding 14 yang dikesan di tempat kerja.

FMT membawakan secara ringkas tajuk utama mengenai Covid-19 sepanjang minggu lalu.

Dewan Rakyat, kes tinggi

Sebanyak 85 kes Covid-19 dikesan di Parlimen. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 60 kes dilaporkan sebelum Dewan Rakyat bersidang, 17 ketika persidangan manakala lapan lagi sebelum persidangan Dewan Negara bermula.

Pada 1 Ogos, Noor Hisham berkata empat daripada kes di Parlimen itu berkemungkinan daripada varian Delta. DAP mendesak supaya bukti ditunjukkan bagi mengesahkan kes terbabit.

Jumlah kes Covid-19 dijangka menurun

Jumlah kes Covid-19 dijangka menurun bermula awal bulan ini dan Noor Hisham berkata, ia akan berlaku sebaik saja 40% rakyat Malaysia menerima dos lengkap vaksin.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, berkata sehingga Sabtu, sebanyak 8,258,110 rakyat Malaysia atau 25.3% daripada penduduk telah pun menerima dos lengkap vaksin.

Tiada antibodi?

Tiga individu yang menerima dua dos vaksin Sinovac mendakwa antibodi tidak dikesan dalam badan mereka.

Mereka membuat ujian antibodi susulan terdapat laporan “suntikan kosong” sebelum ini.

Bagaimanapun, semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai tidak menjalankan ujian terbabit kerana setakat ini belum ada garis panduan klinikal terhadap perkara itu.

MB Kedah mohon maaf bergurau mengenai Covid-19

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf kerana membuat gurauan mengenai situasi Covid-19 yang semakin buruk di negeri ini, dan menjelaskan ia diambil di luar konteks.

Dalam video tular, Sanusi ditanya seorang wartawan sama ada kontena di negeri itu mencukupi untuk penyimpanan mayat pesakit Covid-19.

Dia memaklumkan kontena adalah mencukupi sebelum berkata, sesiapa yang ingin masuk (ke dalam kontena) boleh memberi nama dan ia mengundang kecaman di kalangan warganet dan ahli politik.

Ketua Pemuda PH meninggal dunia akibat Covid-19

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir meninggal dunia pada Sabtu akibat Covid-19. Dia menjalani rawatan sebagai pesakit Kategori 5 kurang seminggu lalu.

Ketua Pemuda Amanah itu disahkan positif pada 19 Julai dan pada 24 Julai, isteri dan anaknya juga dilaporkan dijangkiti virus berkenaan.