Kes dokumen palsu tender pembersihan, empat lagi ditahan SPRM

Kes dokumen palsu tender pembersihan, empat lagi ditahan SPRM

Empat lagi individu termasuk seorang wanita ditahan malam semalam dan hari ini kerana disyaki mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki satu tender pembersihan.

Mereka yang berusia antara 37 hingga 51 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah di sini antara pukul 8 malam semalam hingga pukul 7.30 malam semalam.

Penahanan empat individu itu menjadikan keseluruhan seramai 25 individu yang ditahan untuk kes sama sejak semalam.

Menurut sumber, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pemilik syarikat termasuk seorang wanita dengan masing-masing berusia 37, 38 dan 51 tahun manakala seorang lagi merupakan pengurus berusia 44 tahun.

“Pengurus terbabit telah direman pagi tadi bersama 14 individu lain yang terlebih dahulu ditahan sebelum ini, manakala wanita berusia 38 tahun yang merupakan pemilik syarikat pula dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas percakapannya dirakam,” ujarnya.

Jelas beliau, dua lagi pemilik syarikat yang ditahan hari ini iaitu lelaki berusia 37 dan 51 tahun akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang mungkin terlibat dalam kes serupa serta dokumen-dokumen penting berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, seramai 21 individu termasuk tiga wanita telah ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah semalam. – K! ONLINE

 

COMMENTS