Kes ADUN Perak rogol pembantu rumah: Saksi percaya mangsa berseorangan ketika buat aduan

Kes ADUN Perak rogol pembantu rumah: Saksi percaya mangsa berseorangan ketika buat aduan

Saksi kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau percaya tidak ada sesiapa dengan mangsa ketika wanita itu menghubunginya untuk membuat aduan.

“Tiada tanda-tanda atau suara bunyi lain pada saat mangsa berbicara dengan saya,” kata Riki Sapari, penerima aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur.

Pada perbicaraan hari kedua pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Jamil Aripin, petugas kedutaan itu berkata beliau menjawab panggilan mangsa itu kira-kira 11 pagi, 8 Julai 2019.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata beliau tidak mendengar apa-apa untuk menunjukkan mangsa bersama orang lain ketika membuat panggilan itu.

Riki juga tidak bersetuju apabila peguam mencadangkan mangsa diajar untuk bercakap sedemikian tetapi sebaliknya percaya tiada sesiapa yang mengajarnya untuk melaporkan kejadian itu.

“Dari cara mangsa berbicara dalam keadaan…menangis, panik dan ketakutan. Maksudnya, saya bisa mengatakan bahawa tidak ada siapa pun (bersama mangsa). Maksud saya dalam keadaan orang berbicara seperti itu saya berpendapat ia natural (semula jadi),” katanya.

Riki turut menjelaskan beliau menulis perkataan pelecehan seksual dalam sistem semasa pengaduan kerana mengikut pemahamannya ia turut termasuk dalam perlakuan pemerkosaan selain bukan dalam posisi untuk menentukan sama ada pemerkosaan berlaku dan melaporkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Perbicaraan dikendalikan hakim Abdul Wahab Mohamed manakala pihak pendakwaan diketuai Jamil yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan sementara pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.

Abdul Wahab kemudian membenarkan saksi pendakwaan keempat dipanggil iaitu Penyelia Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, A Anna Francisca untuk memberi keterangan.

Anna Francisca turut ditunjukkan barangan kes termasuk laporan kimia, Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan rakaman kamera litar tertutup berbentuk CD berkaitan kes itu untuk pengecaman sebelum prosiding ditangguhkan pada sebelah petang.

Pada 21 Dis lepas, Mahkamah Tinggi menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac lepas untuk perbicaraan kes selepas Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya itu di kediaman beliau di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam namun ditangguh sehingga dimulakan semalam.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Dis lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Yong pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan exco perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan kampung baru Perak. | FMT

COMMENTS