Kereta terjunam : Hanya dua jasad ditemui dalam kereta

Hanya dua jasad ditemui dalam kereta Proton Persona yang terjunam ke dalam Tasik Lake Resort di Serdang, di sini, petang semalam.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang juga Komander Operasi, Mohd Hafiz Suhaimi, berkata berdasarkan maklumat yang diterima sebelum ini terdapat empat mangsa di dalam kenderaan itu yang dilaporkan terjunam ke dalam tasik berkenaan.
Beliau berkata, bagaimanapun hasil pencarian sepasukan anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani hanya menemui dua mangsa terperangkap dalam kereta itu.
“Dua mangsa yang juga dua beranak, Nor Aiza Hashim, 28, dan ibunya, Hasmah Mat Isa, 68, ditemui terperangkap dalam pintu yang tertutup.
“Jarak dari tebing ke tasik kira-kira 10 meter pada kedalaman kira-kira lima meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Hafiz berkata, pihaknya percaya kedua-dua mangsa lemas dalam kenderaan berkenaan.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Nor Aiza berada di luar kenderaan itu dan cuba menyelamatkan ibunya yang berada dalam kereta ketika terjunam ke dalam tasik.
“Ketika itu empat orang awam cuba membantu menyelamatkan dua beranak terbabit, namun gagal sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, dua beranak itu ditemui lemas selepas terperangkap dalam kereta Proton Persona yang terjunam ke dalam Tasik Lake Resort Serdang di sini.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur dilaporkan, berkata siasatan awal mendapati kereta itu berada di kawasan parkir tasik berkenaan, sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.
Mayat Hasmah berjaya dibawa keluar oleh PPDA jam 8.40 malam, manakala mayat Nor Aiza jam 8.59 malam tadi. | BH