Kerajaan perlu galak anak muda cebur diri dalam sektor pertanian – Mazlan Aliman

KOTA TINGGI, 11 NOV: Sektor pertanian dilihat sebagai potensi baharu untuk menjadi sumber pengukuhan ekonomi di kalangan rakyat di negara ini.
Pengerusi NGO Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, anak muda perlu diberi ruang dalam sektor pertanian berdasarkan peruntukan dan insentif yang diumumkan.
Ujarnya, masyarakat tani mesti terus bergerak ke hadapan dan memposisikan diri dalam membina perhubungan di seluruh negara.
Kerjasama strategik dengan kerajaan pusat dan negeri khususnya agensi berkaitan harus diperkukuh di samping pemain industri di pelbagai peringkat.
“Susulan kerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), Fama dan FGV Holding seperti yang kita telah buat sebelum ini, akan disusuli lagi dengan pelan tindakan yang memberi lebih manfaat kepada golongan sasar.
“Memahami situasi Covid 19 dan polisi berkaitan yang mesti dipatuhi tidak sekali-kali melemahkan kita.
“Ikhtiar serta penyelesaian dengan norma baharu akan terus dilaksanakan. Sama ada ‘cash crops’ yang memberi pulangan segera, tanaman lain dan kegiatan hiliran akan menambah pendapatan dan peluang pekerjaan,” kata Mazlan dalam satu kenyataan.
Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor turut menyentuh secara khusus berkenaan penglibatan anak muda dalam sektor tersebut.
Tambahnya lagi, penglibatan anak muda yang dilihat berkurangan serta rendah perlu dipertingkatkan dengan pelbagai usaha dari pihak kerajaan.
Penglibatan anak muda dalam sektor pertanian amat rendah, tidak sampai 15 peratus.
“Persepsi bahawa pertanian memenatkan, kotor dan berpendapatan rendah menjadi pegangan.
“Motivasi khususnya di peringkat sekolah lebih tertumpu cita-cita sebagai seorang profesional berbanding kerjaya petani yang didakwa tiada masa depan.
“Jangan terlalu banyak berteori dan retorik selain membuang masa dan wang ringgit. Perlaksanaan dari perancangan atau mekanisme mesti disegerakan dan jikan tidak, tanggapan ‘lembab dan lambat’ sentiasa kekal sampai bila-bila,” ujarnya lagi.
Johorkini