Kerajaan Muhyiddin jangan tolak Undi18 seperti bola ping pong

Kerajaan Muhyiddin jangan tolak Undi18 seperti bola ping pong

Kerajaan harus bertanggungjawab dalam memastikan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan tidak berdolak dalik dengan menjadikannya seperti bola ping-pong, kata Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

“Jadi, dalam isu Undi 18 tahun ini, bolehkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tolak bola pingpong ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)? Kerajaan PN tidak boleh tolak-tolak kepada pihak yang lain.

“Ini tanggungjawab kerajaan semasa yang mewarisi keputusan parlimen yang perlu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wakil rakyat dari PKR itu turut menyatakan bahawa polisi Undi 18 telah diluluskan sebulat suara dalam Dewan Rakyat pada tahun 2019 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Yang jadi kerajaan ialah Perikatan Nasional yang kuasanya sekarang hampir unlimited – tak terbatas- di bawah Ordinan Darurat. Kata pepatah Melayu, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih,” katanya.

Baru-baru ini SPR memaklumkan pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik terpaksa ditangguhkan sehingga selepas Sept 2022 kerana persediaannya terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pernah membayangkan dasar itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Pengkritik berpendapat tidak ada sebab mengapa pendaftaran pengundi sedia ada tidak dapat diperluas kepada mereka yang berusia 18 tahun.

Menurut Hassan sebagai perbandingan, hal ini samalah dengan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang telah dibatalkan kerajaan.

“Projek ini bermula pada zaman BN berkuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Apabila BN tumbang dan PH berkuasa, maka kerajaan PH pimpinan Mahathir Mohamad terpaksa pikul tanggungjawab uruskan perjanjian Projek HSR tersebut.

“Apabila kerajaan PH tumbang, maka kerajaan PN pula sambung pikul projek biawak hidup itu. Apabila kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin batalkan projek HSR itu, maka kerajaan PN terpaksa bayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada kerajaan republik Singapura,” katanya. | MK