Kerajaan langgar garis panduan agihan tanah Felcra Kuala Embong, penduduk setempat dipinggir

Kerajaan langgar garis panduan agihan tanah Felcra Kuala Embong, penduduk setempat dipinggir

Penduduk dari beberapa buah kampung di Mukim Tersat, Hulu Terengganu berhimpun secara aman membantah senarai nama peserta baharu bagi lot kosong di Felcra Kuala Embong, petang Khamis lalu.

Himpunan di pekarangan Masjid Kampung Sekayu seramai kira-kira 70 orang itu sebagai luahan hati mereka agar kerajaan negeri mengkaji semula senarai nama berkenaan atau tangguhkan pengambilan peserta baharu.

Ketua Peserta Felcra Kuala Embong, Sudin Mamat berkata, terdapat 31 lot kekosongan bagi projek 1 dan 2 di Felcra tersebut yang telah mengeluarkan hasil dan dikesalkan senarai nama peserta tiada ketelusan kerana tidak mengikut kriteria ditetapkan sebelum ini.

 

“Kewujudan Felcra ini sebagai tanah pinggiran untuk diusahakan tanaman bagi tingkatkan ekonomi penduduk setempat. Peserta terdiri daripada orang Mukim Tersat yang berpendapatan rendah serta berkahwin.

“Bagaimanapun, senarai peserta bagi 31 lot tanah kekosongan yang baharu dikeluarkan sekitar tiga minggu lepas telah pinggirkan penduduk setempat, tidak ikut garis panduan sebagaimana sebelum ini.

“Setelah diselidiki, terdapat 16 peserta baharu bukan dalam kalangan penduduk Mukim Tersat, lapan lagi penerima masih berstatus bujang selain ada yang sudah menerima lot tanah pemberian kerajaan,” katanya dalam laporan Utusan Malaysia.

Katanya lagi, projek Felcra Kuala Embong satu seluas 293 hektar yang pada mulanya ditanam getah sebelum beralih kepada kelapa sawit pada tahun 2006 manakala projek fasa dua seluas 157 hektar dan kesemuanya telah keluarkan hasil.

“Hingga kini 143 lot sudah punyai peserta dengan memenuhi kriteria utamakan penduduk setempat. Malangnya bagi agihan terbaharu 31 lot ini tidak penuhi syarat yang ditetapkan sebelum ini.

“Kami membantah senarai nama baharu berkenaan. Laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat, diharapkan siasatan dapat dilakukan,” ujarnya.