Kerajaan campuran sebagai pilihan ? – Datuk Mazlan

Kerajaan campuran sebagai pilihan ? – Datuk Mazlan

‘Dan berpegang teguhlah kamu sekelian pada tali(agama) Allah, jangan kamu berpecah belah.
Dan ingatlah nikmat Allah kepada mu ketika kamu dahulu(masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati mu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan(ketika itu) kamu berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.
Demikianlah, Allah menerangkan ayat ayatNya kepada mu agar kamu mendapat petunjuk’
(Surah Ali’imran 103)

Sejarah perpecahan, pertembungan idealogi, politik sempit dari ego yang tidak berkesudahan; mesti ditamatkan segera.

Kita sudah berada di penghujung tahun 2020, akan memasuki tahun baharu 2021 tidak lama lagi.

Musibah Covid sejak februari lalu telah mengorbankan ratusan jiwa dan ribuan mangsa positif Covid 19 di negara kita pada setiap hari. Peruntukan hampir 300 billion telah dikeluarkan, entah berapa banyak lagi yang akan dibelanjakan, kerana kita tidak tahu bila pandemik covid 19 akan berakhir.

Kehidupan rakyat terjejas teruk,
Musim hujan dan banjir di sesetengah negeri pada ketika ini menambah derita rakyat.

Peralihan kuasa pada pru 14 lalu, kejatuhan Kerajaan PH, episod Bajet 2021 dan tersingkirnya Menteri Besar Perak di Dun Perak semalam; adalah antara warna warni politik Malaysia.

Esok, Ahad, 6 disember, tidak diketahui sejauh mana penerimaan Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap belanjawan yang akan dibentangkan oleh YAB Menteri Besar.

Ngo Malaysia Baru konsisten dengan konsolidasi merentasi politik kepartian. Era politik lama tidak membantu ke arah perpaduan sebenar masyarakat majmuk negara ini.

Tidak dapat disangkal, Umno adalah parti orang melayu yang mempunyai akar umbi paling kukuh dan tubuh sekian lama. Manakala PAS, bertapak kuat di negeri melayu khususnya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Jika sentimen kepartian dapat diketepikan, titik persamaan boleh sahaja dicapai.

Saya yakin, ini yang sedang dilakukan oleh Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama rakan komponen Amanah dan DAP serta harapan besar rakyat Malaysia.

Mengambil kira semua senario dan peri pentingnya orang melayu/islam menjadi contoh perpaduan, adalah amat wajar, mekanisme konsolidasi disegerakan.

Kerajaan negeri di Perak dan Johor adalah situasi yang paling dekat untuk dipraktikkan. Sebuah kerajaan yang ada kepelbagaian latar belakang dan stabil mesti dibentuk.
Kemuncaknya, adalah di peringkat persekutuan, di mana sesi parlimen sedang berlangsung.

Saya yakin, episod perseteruan panjang, ada solusinya dari jiwa besar dan berlapang dada pemimpin politik masa kini.

Moga ada sinar di hujung terowong.

Malaysia Baru yang dambakan perubahan demi kebahagian rakyat jelata.

Datuk Mazlan Aliman
Ngo Malaysia Baru

Sumber berita : https://www.facebook.com/ghbmediatv