Kepala kanak-kanak positif Covid-19 tersepit katil wad

Kepala kanak-kanak positif Covid-19 tersepit katil wad

Tumpat: Kepala kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga pesakit Covid-19 tersepit besi katil di wad Hospital Tumpat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa dikatakan sedang bermain seorang diri di katilnya.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu memasukkan kepalanya di celah besi itu dengan kakinya terjulur ke bawah sebelum gagal mengeluarkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.27 malam dan lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Ketika tiba anggota kami mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan tersepit namun dia tidak menangis atau merengek.

“Operasi mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk memotong besi katil dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Baijuri berkata, kerja menyelamat itu dipantau oleh pegawai perubatan serta jururawat hospital berkenaan dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil sedikit masa sebelum dapat menjalankan operasi menyelamat kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan mangsa adalah pesakit Covid-19.

“Anggota yang terbabit perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan membuat sanitasi selepas operasi.

“Selain sanitasi diri, jentera serta dua kenderaan utiliti yang digunakan turut perlu disanitasi bagi mengelakkan penularan wabak itu,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650088/kepala-kanak-kanak-positif-covid-19-tersepit-katil-wad