Kenyataan media Pakatan Harapan Johor

Kenyataan media Pakatan Harapan Johor

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN NEGERI JOHOR
10 NOVEMBER 2020 / 24 RABIUL AWWAL 1442

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN JOHOR
Seperti warga Johor yang lain, kami juga bingung dengan pengumuman PKPB secara tiba-tiba oleh pihak pemerintah di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan kami mohon agar pihak berkuasa yang berkenaan dapat memberikan penjelasan tentang ;-

1. Mengapa langkah-langkah semasa tidak berkesan untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 ini samada disebabkan oleh kurangnya kepatuhan terhadap SOP, penguatkuasaan yang kurang komprehensif atau kelemahan mekanisme pengesanan patogen dan gangguan rantaian penularan virus yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?

2. Data perbandingan agar ramalan penyebaran wabak di negeri-negeri yang relevan dengan, dan tanpa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang juga dikenali sebagai Unjuran Pandemik dapat dibentangkan. Kaedah ini juga diharapkan dapat meningkatkan kerjasama yang lebih baik daripada masyarakat tempatan.

3. Setelah lapan bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, rakyat Malaysia kini menghadapi tekanan yang berganda ekoran daripada kesulitan ekonomi dan “keletihan pandemik”. Justeru itu, kami ingin mengesyorkan agar:

a. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan mengikut daerah/perbandaran secara khusus dan bukan melibatkan seluruh negeri.

b. Berdasarkan tempoh semasa yang seharusnya merupakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Ekonomi, unit penguatkuasaan undang-undang, seperti Majlis Perbandaran dan Kementerian Kesihatan perlu menerapkan polisi “penguatkuasaan berhemah”, dengan memberikan tumpuan menggalakkan masyarakat mematuhi SOP, melainkan jika mereka ingkar akan nasihat yang diberikan semasa pemeriksaan dilakukan sebelum saman dikeluarkan.

4. Kami menyambut baik cadangan yang diusulkan oleh Perdana Menteri yang berhasrat untuk menjemput parti-parti pembangkang untuk mengambil bahagian dalam Majlis Tindakan Ekonomi dan mesyuarat mitigasi Covid 19. Sebagai tambahan kepada mesyuarat pusat, penyertaan parti-parti pembangkang di peringkat Negeri juga adalah amat penting.

Justeru, semua pihak perlu berganding bahu agar komunikasi, perundingan dan perbincangan yang menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan mengenai cara-cara menangani wabak dan memulihkan ekonomi tanah air ini.

TAMAT

YB Aminolhuda Hassan
Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Johor

YB Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor

YB Senator Liew Chin Tong
Pengerusi DAP Negeri Johor