Kenduri kahwin anak : Siasat Nik Abduh kerana salah guna kuasa, SPRM diberitahu

Kenduri kahwin anak : Siasat Nik Abduh kerana salah guna kuasa, SPRM diberitahu

Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Nik Abduh Nik Aziz atas salah guna kuasa setelah Ahli Parlimen Bachok itu mengeluarkan surat kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) meminta kemudahan perkhidmatan bagi majlis perkahwinan anak perempuannya.

Dalam surat bertarikh 20 Sept itu, Nik Abduh meminta “kerjasama” MPKB bagi kemudahan majlis anaknya, termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas untuk majlis yang berlangsung semalam.

Pengerusi DAP itu berkata, perkhidmatan daripada majlis tempatan biasanya disediakan kepada orang ramai dengan bayaran atau kadar sewa ditetapkan, namun pemimpin PAS itu tidak menawarkan sebarang bayaran atau kadar sewa dalam suratnya.

“Permintaan Nik Abduh untuk kerjasama daripada MPKB menimbulkan persoalan merisaukan mengenai salah guna kuasa apabila Nik Abduh menggunakan kepala surat rasminya sebagai Ahli Parlimen Bachok,” kata Lim dalam kenyataan.

“Nik Abduh sepatutnya menjelaskan apakah dimaksudkannya apabila meminta kerjasama daripada MPKB untuk majlis perkahwinan anak perempuannya.

“Beliau tidak perlu menggunakan kepala surat rasmi dan status Ahli Parlimen Bachok untuk mendapatkan kerjasama MPKB bagi acara persendirian keluarga yang tidak berkaitan dengan tugas awam kepada pengundinya.”

Lim berkata, walaupun Yang Dipertua MPKB Rosnazli Amin mengesahkan menerima surat itu, beliau tidak menyatakan sama ada pihaknya meluluskan permintaan itu, mahupun sama ada sebarang pembayaran dibuat.

Selain menyiasat Nik Abduh, Lim berkata, SPRM perlu mempertimbangkan untuk menyerbu MPKB bagi meneliti sama ada ia cuba menutup “kerjasama” yang disediakan seperti diminta Nik Abduh.

Katanya, SPRM mesti menunjukkan bahawa ia tidak mengamalkan layanan dua darjat.

Beliau berkata demikian susulan serbuan agensi itu ke atas ibu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Isnin dan penahanan dua pegawainya.

Sinar Harian memetik salah seorang wakil rakyat PKR yang enggan dikenali sebagai berkata, serbuan SPRM itu dipercayai mempunyai kaitan dengan projek tebatan banjir.