Kenapa SPRM timbulkan tawaran 10 juta kepada MP Sekijang, sedangkan ia hanya coretan laman facebook saja?

Kenapa SPRM timbulkan tawaran 10 juta kepada MP Sekijang, sedangkan ia hanya coretan laman facebook saja?

Sebagai respon kepada laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail berhubung cubaan merasuah beliau untuk menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin, SPRM petang ini mengeluarkan kenyataan media dengan tajuk “SPRM SIASAT KEBENARAN ADUAN RASUAH RM10 JUTA KEPADA YB NATRAH”.

Dalam kenyataan tersebut, SPRM memaklumkan Natrah sebagai mengesahkan tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta oleh dua individu kepadanya untuk melompat parti.

SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima kehadiran Natrah di SPRM Cawangan Segamat, Johor bagi berbincang berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan itu, Natrah mengesahkan bahawa tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta seperti didakwa menerusi kenyataan di akaun Facebook dikenali sebagai Ops Johor.

“Bagaimanapun, SPRM akan terus menjalankan siasatan terhadap isu ini dengan beberapa saksi kes termasuk mengambil keterangan Natrah dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu lagi.

Berikut pula adalah kenyataan media Natrah berhubung laporannya kepada SPRM:-

Kenyataan Media Ahli Parlimen Sekijang

Pada 7hb Mac 2021

Hari ini saya telah membuat satu laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan janji manfaat yang boleh saya perolehi dengan pemberian sokongan tersebut.

Kejadian itu telah berlaku pada 3hb Mac yang lalu, dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’.

Saya membuat laporan ini berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, berkenaan kewajipan melaporkan tawaran suapan.

Saya berharap pihak SPRM akan dapat menyiasat perkara ini pada kadar segera.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa saya tidak berminat untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya tidak mahu mengkhianati Parti Keadilan Rakyat, pimpinan, dan yang terpenting pengundi-pengundi Parlimen Sekijang.

Kepada mereka yang masih berusaha untuk mengubah sokongan Ahli-Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat atau pembangkang amnya, berhenti lah. Kerajaan minoriti yang kamu cuba selamatkan itu sudah seperti telur di hujung tanduk.

Kepada kerajaan minoriti hari ini, saya cuma ada satu kata: “Lawan!”

YB Hjh Natrah Ismail

Ahli Parlimen Sekijang

Berdasarkan laporan yang dibuat oleh Natrah, jelas intipatinya ialah tentang suatu kejadian cubaan mendapatkan sokongan beliau terhadap Muhyiddin dengan janji manfaat yang boleh diperolehi daripada sokongan tersebut.

Beliau menyebut kejadian yang berlaku pada 3 Mac lalu itu melibatkan dua individu, termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri.

Tidak disebut sama sekali tentang tawaran imbuhan bernilai RM10 juta kepadanya.

Begitu juga dalam pendedahannya sebelum ini, Natrah juga tidak pernah menyebut angka RM10 juta.

Tawaran kononnya berjumlah RM10 juta hanya disebut oleh sebuah laman Facebook yang dikenali sebagai Ops Johor, bahkan ini diakui sendiri oleh SPRM dalam kenyataan medianya.

Jika demikian, kenapa SPRM menimbulkan perkara tersebut dan menjadikannya tajuk kenyataan media sedangkan ia ditimbulkan oleh laman Facebook yang tiada kaitan sama sekali dengan Natrah?

Apakah tujuan SPRM mensensasikan pengakuan Natrah yang beliau tidak pernah ditawarkan rasuah RM10 juta itu?

Apakah SPRM cuba menggambarkan tiada rasuah dilakukan, walhal siasatan belum pun dijalankan lagi?

Siasatlah apa yang Natrah lapor, tak perlu kenyataan media jika tiada keperluan berbuat demikian.

Tak payahlah cari glamour dengan sikit-sikit nak keluarkan kenyataan media yang tidak berkaitan dengan topik siasatan yang sepatutnya, tapi akhirnya lebih menampakkan maksud tersirat apa yang cuba dilakukan.

Harapan rakyat ialah mahu SPRM menjadi sebuah badan yang betul-betul bebas, tidak kira kepada kerajaan atau pembangkang, bukan menampakkan kecondongan yang boleh menjejaskan intergriti. – SDC