Kenapa mahu singkir AssetsCo dalam projek HSR, kata Anwar

Kenapa mahu singkir AssetsCo dalam projek HSR, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata perdana menteri mesti menjawab dakwaan Singapura bahawa tindakan Putrajaya mahu menyingkirkan pembekal sistem dan pengendali rangkaian projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) sebagai punca utama projek itu gagal.

Ketua pembangkang berkata, kenyataan Singapura bahawa Malaysia mahu menyingkirkan Syarikat Aset (AssetsCo) menimbulkan persoalan dan kebimbangan di negara ini.

“Kenapa kerajaan PN menolak syarikat aset bersama yang mempunyai kemahiran yang tidak dimiliki kedua-dua negara?

“Apatah lagi jika kita boleh merunding bagi memastikan ia merangkumi peningkatan kapasiti dan keupayaan teknikal syarikat tempatan kita, seterusnya membangunkan mereka dan menyediakan pekerjaan jangka panjang untuk rakyat Malaysia?” katanya dalam kenyataan.

Presiden PKR itu berkata, pelaksanaan bersama Singapura akan memastikan tiada pihak yang mungkin menyalahgunakan proses seterusnya memastikan ketelusan untuk rakyat.

“Mungkin itulah sebabnya.”

Putrajaya dan Singapura gagal mencapai persetujuan berhubung sebelum perjanjian dua hala itu luput pada 31 Dis 2020.

Mustapa Mohamed, menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal ekonomi berkata, perselisihan mengenai struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen menyebabkan pihak-pihak menemui jalan buntu.

Anwar berkata, pembatalan itu menunjukkan sama ada kekurangan pemahaman asas mengenai pentingnya projek itu, atau ketakcekapan ekonomi dalam mereka yang diberi kepercayaan membentuk pembangunan negara ini.

Katanya, pembatalan itu satu kesilapan dari segi ekonomi dan manfaat masa depan.

Anwar berkata, HSR ke Singapura sepatutnya membuka peluang ekonomi untuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, malah ramai pelancong Singapura datang bercuti di kawasannya.

Katanya, lebih membimbangkan lagi, kerajaan PN seolah-olah tidak kisah ‘membazirkan wang’ dengan memikirkan pula HSR ‘domestik’ yang tamat di Johor Bahru.

“Memandangkan sudah ada landasan kereta api oleh KTM, perancangan HSR baru ini pasti menjadi gajah putih lagi, membuktikan kerajaan ini gemar membazirkan dana awam,” katanya.

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/07/jelaskan-kenapa-mahu-singkir-assetsco-dalam-projek-hsr-kata-anwar/