Kemuka pernyataan palsu, tiga bekas pegawai syarikat pelaburan lepas bebas

Kemuka pernyataan palsu, tiga bekas pegawai syarikat pelaburan lepas bebas

Kuala Lumpur: Tiga bekas pegawai sebuah syarikat pelaburan termasuk seorang bergelar Datuk, hari ini, menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan mereka daripada lapan pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd, 14 tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan rayuan dikemukakan oleh bekas pengarah eksekutif Syarikat Kosmo Technology Industrial Bhd Mohd Azham Mohd Noor, 55; bekas pengurus akaun Lim Hai Loon, 50; dan bekas pengarah urusan Datuk Norhamzah Nordin, 55, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 3 Mei 2019.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman denda RM1.45 juta dan penjara dua tahun ke atas Mohd Azham dan Norhamzah setiap seorang, serta denda RM560,000 dan penjara setahun ke atas Lim, selepas mendapati mereka bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Hakim Muhammad Jamil ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan keterangan bersumpah saksi pembelaan keempat, yang juga seorang pegawai akaun syarikat dan ia telah memprejudiskan kesemua perayu.

“Mengikut Kanun Tatacara Jenayah (CPC), mahkamah perlu mempertimbangkan keterangan yang diberi oleh saksi-saksi termasuk saksi pembelaan. Kegagalan Hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira keterangan saksi pembelaan keempat, adalah ketidakadilan yang serius.

“Kegagalan itu adalah satu salah arah yang harus membabitkan campur tangan mahkamah ini. Oleh itu, rayuan kesemua perayu dibenarkan dan sabitan dibatalkan. Denda sekiranya dibayar perlu dipulangkan semula kepada kesemua perayu dan jaminan juga turut dipulangkan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, kesemua perayu diwakili peguam Datuk C Vignesh Kumar, Daniel Annamalai, PG Cyril dan Magita Hari Mogan, manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Shoba Venu Gobal dan Hashley Tajudin, hadir bagi pihak responden.

Pada 2011, Mohd Azham dan Norhamzah didakwa atas lapan pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu, kepada Bursa Malaysia Securities Bhd di Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, antara 2006 dan 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 122B (a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 122(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lim juga mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan bersubahat mengemukakan pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun sama syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd antara 2006 dan 2008.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 122B (a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 122(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta serupa yang memperuntukkan hukuman sama.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648523/kemuka-pernyataan-palsu-tiga-bekas-pegawai-syarikat-pelaburan-lepas-bebas