Kemelut status presiden PBM, Zuraida, Larry Sng bertembung

Kemelut status presiden PBM, Zuraida, Larry Sng bertembung

Larry Sng digesa hadir ke mesyuarat Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 3 Nov ini bagi menjawab persoalan kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai presiden parti itu.

Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha, berkata Zuraida dilantik sebagi presiden pada persidangan agung tahunan parti itu pada 7 Okt lalu dan telah diperakui dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi ke-6 yang lalu.

“Panggilan untuk mengadakan mesyuarat ini adalah termaktub dalam Fasal 21 (1) Perlembagaan PBM.

“… yang membolehkan Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ahli-ahli Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia untuk diadakan satu mesyuarat bagi menyelesaikan isu-isu tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Haniza berkata demikian merujuk kenyataan Sng di Facebooknya hari ini yang mempersoalkan status presiden PBM.

Terdahulu, Sng mengumumkan penggantungan setiausaha agung dan ketua penerangan PBM berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan di Facebook, Sng berkata Hizwan Ahmad dan Zakaria Abdul Hamid digantung berhubung mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Okt lalu, yang melantik Zuraida sebagai presiden.

Hizwan dan Zakaria merupakan bekas ahli PKR dan dilihat “orang kuat” Zuraida.

Sng mengecam tindakan itu sebagai “muslihat politik”, dan berkata ia menjejaskan kepimpinannya dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli PBM serta masyarakat umum.

Semalam, Sng menegaskan beliau masih presiden PBM dan akan menandatangani surat watikah calon untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menegaskan yang beliau tidak pernah meninggalkan jawatan nombor satu parti, Sng berkata beliau akan bertanding pada PRU15 atas tiket PBM.

Pemimpin dari Sarawak itu sebelum ini menegaskan tiada konflik antaranya dan Zuraida, dan mahukan peralihan kuasa dijalankan mengikut “prosedur yang betul” bagi mengelak PBM berdepan sebarang masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).