Kemelut politik di Perak boleh heret ke negeri lain, Johor tidak terkecuali

Kemelut politik di Perak boleh heret ke negeri lain, Johor tidak terkecuali

KUALA LUMPUR: Kemelut politik Menteri Besar yang berlaku di Perak ketika ini kemungkinan juga boleh mengheret ke kancah sama di beberapa negeri lain termasuk di Johor dan Sabah.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata ia juga boleh menggugat kedudukan kerajaan Persekutuan yang ketika ini dibina atas persetujuan beberapa parti.

“Akibat daripada cetusan kemelut ini, tsunami politik juga berisiko untuk melanda kerajaan Johor, Sabah, dan beberapa negeri lain termasuk Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan didirikan hasil kerjasama semua parti-parti politik.

“Perdana Menteri sudah memberi jaminan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diadakan segera sebaik pandemik COVID-19 pulih sepenuhnya.

Nasihat Agong untuk semua pemimpin dan parti politik menghentikan kemelut politik nampaknya tidak dipedulikan serta diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika COVID-19 melanda negara, masih ada pemimpin dan parti politik tidak henti-henti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pusat dan kini kerajaan Perak.

“Insya-Allah, rakyat akan menghukum parti dan individu yang meletakkan kepentingan politik, jawatan dan parti masing-masing melebihi nyawa, kesihatan, keselamatan dan ekonomi rakyat yang kini terancam akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Terdahulu, menerusi surat bertarikh 18 November lalu, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim berkata Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dari BERSATU mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/761498/kemelut-politik-di-perak-boleh-heret-ke-negeri-lain?fbclid=IwAR3201wmestKjPRWO1rdWGZtRSbzmAqzEsuz4YK7YS_vp1L4mBk7p6JzQzw