Kemalangan ngeri… Suami maut, isteri parah dirempuh MPV sarat ketum

Kemalangan ngeri… Suami maut, isteri parah dirempuh MPV sarat ketum.
Seorang lelaki maut, manakala isterinya parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai dipandu oleh penyeludup ketum dalam kejadian di Jalan Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam, Kedah, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa yang maut, Ahmad Sofberi Sharif, 38, dan isteri, Hananie Hassim, 28, tersepit di tempat duduk kesan daripada pelanggaran berkenaan.
Ketua Polis Kubang Pasu Rodzi Abu Hassan berkata, MPV Grand Livina yang dipandu lelaki itu sarat membawa muatan 500kg daun ketum.
Katanya, nahas dipercayai berlaku apabila pemandu MPV terbabit yang datang dari arah Alor Setar menghala ke Kangar, Perlis, gagal memotong sebuah kenderaan, lalu merempuh kereta dinaiki pasangan itu yang berada di laluan bertentangan.
Rodzi berkata, Sofberi dari Kampung Pida 8 Mukim Ah, Kodiang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kedua-dua belah kaki.
Menurut laporan Awani, bomba terpaksa memotong pintu dan bumbung kereta jenis Proton Iswara untuk mengeluarkan dua mangsa terbabit.
Mayat Sofberi dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan isterinya turut di hantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, pemandu MPV berusia 29 tahun berasal dari Felcra Lubuk Sireh, Perlis, turut mengalami kecederaan patah kaki kanan, luka pada tangan kanan dan dagu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun Akta Racun 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.