“Keluarga beritahu anak saya bukan lumba haram”, ini penjelasan polis

“Keluarga beritahu anak saya bukan lumba haram”, ini penjelasan polis

“Keluarga beritahu anak saya bukan lumba haram”, ini penjelasan polis.

Polis akan melakukan siasatan terperinci kes tiga remaja maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini kelmarin.

"Keluarga beritahu anak saya bukan lumba haram", ini penjelasan polis

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan itu demi memastikan keadilan buat pihak terlibat, selepas ada ahli keluarga mangsa mendakwa insiden itu tidak melibatkan perlumbaan haram.

“Kes tiga remaja meninggal, kami akan siasat sebab ada yang keluarga beritahu anak dia bukan lumba haram…kami akan siasat demi keadilan.

“Kawasan itu memang satu daripada kawasan (hot spot) yang digunakan (untuk berlumba), jalan itu tidak ada halangan dan sebagainya. Tetapi, untuk kes ini, kami akan siasat lebih terperinci, saya harap keluarga bersabar,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri yang baharu, di sini.

Beliau mengulas perkembangan kes tiga penunggang motosikal berusia 15 hingga 16 tahun yang maut dalam kemalangan dipercayai akibat berlumba sesama sendiri, manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun cedera parah dalam insiden pada 10.30 malam Jumaat lalu.

Sementara itu, Kamarul berkata, hanya 10% daripada 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri.

Beliau berkata, ia bagi memastikan penugasan Op Selamat yang bermula 28 April ini berjalan lancar.

Katanya, penugasan Op Selamat antaranya memfokuskan pemantauan di kawasan kediaman, kawalan trafik di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah, lebuh raya dan kawasan bandar, bagi mengelakkan kesesakan, sekali gus memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya.