Kelantan cadang mereka terima 2 dos vaksin dibenar ke masjid

Kelantan cadang mereka terima 2 dos vaksin dibenar ke masjid

Kerajaan Kelantan mencadangkan agar mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan untuk menunaikan sembahyang jemaah di masjid.

Bagaimanapun ia dengan syarat mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebelum diputuskan secara rasmi.

“Kita cadang supaya masjid dibuka kepada mereka yang sudah lengkapi dua dos vaksin. Mereka dari segi risiko jangkitan lebih rendah.

“Jadi kita cadang dibuka kepada mereka tanpa sebarang had bilangan, tetapi tetap perlu mematuhi SOP sedia ada,” katanya kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa keselamatan khas negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Bermula sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu, hanya 12 orang dibenarkan menyertai sembahyang berjemaah di masjid dan surau.

Dalam perkembangan berlainan, Izani yang juga Adun Kijang berkata, kerajaan negeri bersedia membeli bekalan vaksin Covid-19 dalam usaha menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) peringkat negeri.

Menurutnya, ia selepas melihat kesedaran rakyat untuk menerima suntikan bertambah baik.

Bagaimanapun, katanya lagi, ia tetap bergantung kepada beberapa faktor seperti jumlah bekalan yang ada serta kemampuan kewangan kerajaan negeri. | MK

COMMENTS